Nilai eksport industri kayu cecah RM22.9 bilion tahun lalu
INDUSTRI perkayuan kini muncul penyumbang penting kepada ekonomi negara apabila nilai eksport produk tersebut mencecah RM22.9 bilion pada tahun lalu.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 4.9 peratus berbanding 2023, sekaligus menjadi penyumbang eksport ketiga terbesar bagi produk agrikomoditi.
Kedudukan itu selepas industri minyak sawit dengan nilai RM114.4 bilion dan getah sebanyak RM33.7 bilion.
Namun kata beliau, jumlah penyertaan Bumiputera secara keseluruhan dalam industri perkayuan masih berada di tahap yang rendah.
“Walaupun terdapat peningkatan berbanding dengan tahun 2023, usahawan Bumiputera masih lagi menyumbang kurang daripada satu peratus iaitu RM44 juta daripada jumlah keseluruhan eksport kayu dan produk kayu.
“Mereka (Bumiputera) ini banyak mikro dan saya beritahu kalau hendak maju dalam industri ini dia mesti memerlukan ekosistem yang boleh menguatkan perniagaan mereka ini.
“Contohnya banyak benda mereka boleh buat tetapi tidak ada rantaian bekalan baik dan kena kerjasama syarikat bukan Bumiputra yang berjaya dalam negara kita.
“Banyak rekaan idea datang dari syarikat Bumiputera tidak boleh direalisasikan kalau tak ada rantaian bekalan di mana dapat memberi manfaat kepada Bumiputera dan bukan Bumiputera.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Simposium Pemerkasaan Bumiputera Dalam Industri Perkayuan di Putrajaya pada Februari.